6 Mei 2010

Cuci tingkap bangunan tertinggi dunia di Dubai


MELBOURNE – Sebuah syarikat Australia menceritakan tugas yang mencabar semasa mencuci cermin bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan menggunakan sejumlah baldi di samping bantuan peralatan berteknologi tinggi berharga AS$7.3 juta (RM24.7 juta).

Pengurus Besar Cox Gomyl, Dale Harding berkata, syarikat berkenaan mencipta dan memasang beberapa mesin unik yang digunakan untuk membersihkan tingkap sebelum bangunan itu dirasmikan kelmarin.

Sebanyak 12 mesin itu dengan berat keseluruhan 13 tan mampu membawa sehingga 36 tukang cuci yang menggunakan air dan sabun untuk membersihkan 24,830 tingkap bangunan tersebut selama tiga bulan.

“Bahan pencuci yang kami gunakan itu sama seperti yang digunakan untuk mencuci cermin kedai. Tiada yang luar biasa mengenainya,” kata Harding.

Tukang-tukang cuci itu berdiri di atas mesin tersebut yang bergerak di sebuah landasan mudah alih dan dipasang mengelilingi bangunan Burj Khalifa.

“Ia cabaran yang amat besar. Mereka mahukan bangunan itu sebersih yang mungkin sebelum majlis perasmiannya dan jadual kami pula singkat,” jelas pengurus besar berkenaan.

Burj Khalifa sebelum ini dikenali sebagai Burj Dubai.

Nama baru itu diambil daripada nama pemerintah Dubai, Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahayan.

Bangunan itu setinggi 828 meter itu memiliki 160 tingkat.
Related Posts with Thumbnails