9 Mei 2010

Pencuri kereta polis minta maaf


SUNGAI BULOH – “Sorry PDRM, tersilap sapu.”

Demikian nota yang ditinggalkan oleh penjenayah yang mencuri kereta rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar selepas kenderaan itu ditemui semula di tepi jalan di kawasan Prima Damansara di sini pagi semalam.

Penjenayah terbabit bertindak meninggalkan kenderaan itu kira-kira 15 kilometer dari tempat ia dicuri bersama nota meminta maaf selepas dia dipercayai mengetahui kenderaan itu milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kereta itu ditemui oleh tiga anggota polis dari Balai Damansara Damai yang menjalankan operasi bagi mengesan kenderaan terbabit pada pukul 8.35 pagi.

Menurutnya, kereta itu ditemui dalam keadaan baik dan tiada barang-barang milik Ketua Polis Selangor yang ditinggalkan dalam kenderaan itu hilang.

“Apabila diperiksa, kita menemui sekeping kertas tertulis nota berbunyi ‘Sorry PDRM, tersilap sapu’ yang diletakkan di atas papan pemuka kereta itu.

“Berdasarkan nota itu, kita percaya penjenayah terbabit bertindak demikian selepas mengetahui kereta yang dicuri milik Ketua Polis Selangor,” katanya ketika ditemui di tempat kereta tersebut dijumpai.

Kereta jenis Perdana V6 tersebut dicuri di tempat letak kereta berhadapan sebuah restoran di Jalan Tengku Ampuan Zabedah 9/H, Seksyen 9 di Shah Alam pada Khamis lalu.
Related Posts with Thumbnails