8 Mei 2010

Pintu najis di pinggang


KEGEMBIRAAN Yew Yock Kee melahirkan cahaya mata perempuan kembar tanggal 27 Julai 1995 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor tidak berpanjangan apabila salah seorang puterinya itu mengalami masalah pada bahagian usus dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selanjutnya.

Ketika mengandung, tiada apa yang ganjil dikesan oleh doktor kerana kembar yang dikandungnya Kong Zhi Yi dan Kong Zhi Xian itu nampak normal. Cuma kedua-dua mereka mahu melihat dunia enam minggu lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.

Lebih memilukan hatinya apabila diberitahu oleh doktor bahawa Zhi Yi yang hanya berusia tiga hari terpaksa menjalani pembedahan ostomi dengan menebuk lubang yang dipanggil stoma pada bahagian kiri pinggang yang berfungsi sebagai ‘pintu’ kepada saluran najisnya.

Walaupun peristiwa itu berlaku 15 tahun yang lalu, memori pahit tersebut masih segar terpahat di fikiran wanita berusia 53 tahun berkenaan serta suaminya, Kong Kin Chai, 53, sehingga hari ini.

Tidak terima kenyataan

Mengimbau semula kenangannya itu, Yock Kee memberitahu, pada mulanya dia tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya yang masih kecil itu terpaksa mengharungi kesakitan sedemikian.

“Setiap hari, saya sering bertanya kepada diri sendiri, kenapa dan bagaimana perkara ini berlaku kepada diri saya? Memang saya tidak boleh terima hakikat pada ketika itu.

“Sudahlah sakit sewaktu bersalin dan Tuhan menguji saya dengan dugaan ini pula. Tetapi lama-kelamaan saya sedar bahawa itu semua takdir dan ketentuan yang perlu dihadapi,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Sedang asyik menemuramah Yock Kee, mata penulis melilau mencari gerangan anak gadisnya yang istimewa. Tidak lama kemudian, datang seorang gadis menghidangkan air buat penulis dan jurugambar, Aizzul A. Majid.

“Inilah anak saya yang ada stoma,” kata Yock Kee sambil memperkenalkan Zhi Yi yang kemudian duduk di sisinya.

Seperti remaja yang seusia dengannya, tiada apa kekurangan yang dilihat daripada susuk tubuh Zhi Yi. Dia nampak normal seperti remaja lain kerana stoma tersorok di sebalik pakaiannya.

Membesar dengan stoma

Stoma adalah bukaan yang ditebuk melalui pembedahan yang dinamakan ostomi. Stoma boleh jadi kekal dan bersifat sementara. Ia kelihatan berkilat, basah, berwarna merah jambu gelap dan berbentuk bulat atau oval.

Ostomi pula terbahagi kepada tiga jenis iaitu, kolostomi, illeostomi dan urostomi. Kolostomi merupakan bukaan yang dilakukan melalui pembedahan pada usus besar bagi membolehkan najis keluar.

Illeostomi pula dilakukan pada usus kecil melalui bukaan pada bahagian abdomen untuk pembuangan najis, manakala urostomi pula dilakukan apabila seseorang itu mengalami masalah dengan saluran kencingnya. Saluran kencing dipesongkan daripada saluran asal dan saluran baru terletak di permukaan abdomen.

Yock Kee memberitahu, ketika berusia tiga minggu, Zhi Yi kerap menangis mungkin menahan sakit dan tidak selesa. Namun, selaku ibu, dia tidak dapat menenangkan anaknya itu dalam dakapannya kerana dilarang berbuat demikian.

“Saya hanya mampu melihat, dia menangis. Setelah doktor membenarkan anak saya pulang, saya menjadi takut kerana tidak tahu bagaimana untuk menjaga anak yang mempunyai stoma akibat tiada pengalaman dan tidak tahu ke mana harus dirujuk.

“Jururawat mengajar bagaimana cara untuk membersihkan stoma dengan cara menampal kapas pada lubang stoma kemudian ditutup dengan plaster,” ujarnya.

Beg kolostomi

Sepanjang lapan bulan menguruskan stoma anaknya, Yock Kee ibarat jururawat dan dua anak lelakinya, Kong Sheng Ci dan Kong Sheng Earn bagai pembantu jururawat yang setia membantu ibu mereka menggunting kapas seakan memahami tugas rutin si ibu.

“Saya perlu mencuci stoma anak saya 10 kali sehari dan ia mengambil masa 15 hingga 30 minit untuk setiap cucian. Selepas itu baru kami tahu bahawa ada cara yang lebih mudah menguruskan pesakit stoma iaitu dengan menggunakan beg yang dilekatkan pada stoma.

“Keadaan menjadi sukar apabila Zhi Yi mula merangkak dan lasak pada usia tujuh bulan. Dia kerap mahu mencabutnya mungkin berasa tidak selesa dan membataskan pergerakannya. Jadi, saya terpaksa balut sekeliling badannya kemudian diikat dengan tali supaya beg tersebut tidak tercabut,” jelasnya sambil memberitahu pada usia dua tahun buah pinggang Zhi Yi pula rosak.

Apabila melangkah ke alam persekolahan, Yock Kee sentiasa menjenguk anaknya di sekolah bagi membantu anaknya menguruskan diri terutama ketika mahu ke tandas.

“Saya perlu berada di sampingnya untuk mengosongkan beg yang telah penuh. Ketika itu saya perlu mencuci tandas sekolah yang kotor bagi memastikan Zhi Yi tidak dijangkiti kuman apabila mencuci stoma.

“Pernah sekali, Zhi Yi lari dan menyorok dalam tandas sekolah kerana beg kolostominya bocor. Habis satu badannya terkena najis. Ketika itu dia masih kecil dan tidak tahu bagaimana berdepan dengan situasi itu seorang diri,” katanya yang bergilir-gilir dengan suami menemani Zhi Yi ketika mula-mula bersekolah.

Katanya, apabila berada di darjah lima, Zhi Yi sudah pandai berdikari menguruskan diri tanpa bantuan. Kini, dia seperti remaja lain yang aktif berpersatuan dan gemar berkawad sehingga mewakili sekolah di peringkat daerah tahun lalu dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Kerumitan yang terpaksa dilalui oleh Zhi Yi sejak kecil lagi, sesekali membuatkannya merungut kepada ibunya: ‘Mengapa perkara ini berlaku pada saya dan bukan kakak?’

“Saya faham perasaannya. Jadi, saya dan suami menerangkannya dari sudut yang positif dan memberitahunya bahawa dia tidak perlu berkejaran atau menunggu giliran ke tandas berbanding kakaknya. Dia boleh melakukannya sambil menonton televisyen.

“Zhi Yi sangat aktif, malah lebih aktif berbanding kakak, Zhi Xian. Dia gemar berenang dan bersukan. Kadangkala saya yang risau jika apa-apa berlaku kepadanya, tetapi ternyata semangatnya lebih besar daripada apa yang saya ada,” ujarnya yang membelanjakan RM350 hingga RM600 sebulan untuk membeli beg kolostomi dan peralatan lain.

Zhi Yi hanya mendiamkan diri sepanjang pertemuan tersebut dan hanya mewakilkan ibunya untuk bercakap. Namun, apabila ditanya mengenai cita-citanya pantas gadis berambut lurus dan berlesung pipit memberitahu hasratnya untuk menjadi seorang doktor.

“Saya mahu membantu orang lain yang mempunyai masalah yang sama dengan saya dalam masa yang sama mendorong mereka supaya tidak membataskan diri dalam apa jua aktiviti,” katanya sambil tersenyum yakin.

Dalam pada itu, Yock Kee menasihatkan ibu bapa yang berhadapan dengan masalah yang sama supaya membuat persediaan dengan maklumat berkaitan selain menyiapkan diri dengan kekuatan fizikal, mental dan emosi kerana banyak cabaran perlu ditempuhi.

Bagi mendapatkan sokongan atau bantuan dari segi pengalaman mengurus stoma, mereka yang terlibat boleh menghubungi Persatuan Stoma Care Malaysia di talian 03-4108 1653 atau di laman web www.stomacare.org.my dan sebarang pertanyaan boleh e-mel kepada psc_malaysia@yahoo.com.
Related Posts with Thumbnails