12 Mei 2010

Saya tak sampai hati

HULU TERENGGANU: Walaupun dia bukan lagi ibu mentua, saya tetap akan menjaganya sehingga akhir hayat, kata Zawiyah Jusoh, 54, yang sanggup berkorban menjaga Mek Yam Ngah, 81, dan tinggal bersamanya di Kampung Bukit Jaber, Ajil dekat sini, biarpun ditinggalkan bekas suaminya ketika mengandungkan anak sulung mereka lebih 30 tahun dulu.

Ibu kepada lima anak itu berkata, walaupun bekas suaminya mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dia tidak sampai hati melihat penderitaan bekas ibu mentuanya yang uzur dan tidak dapat bergerak tanpa pertolongan sejak beberapa tahun lalu.
Zawiyah yang kemudian berkahwin dengan Mohamad Awang Ngah berkata, bekas suaminya yang juga anak tunggal Mek Yam, enggan mengambil ibunya tinggal bersama di Kuala Krai, Kelantan, menyebabkan dia tiada pilihan selain membawa bekas ibu mentuanya itu menetap bersamanya.
Dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, saya tak sanggup melihat bekas ibu mentua menderita keseorangan dan kami sekeluarga ikhlas membantu menjaganya walaupun dia kerap meminta kami menghantarnya ke rumah orang tua kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Saya tak sampai hati untuk memenuhi permintaannya itu kerana sememangnya saya sudah lama menganggap Mek Yam sebagai ibu sendiri selepas kehilangan ibu kandung hampir 18 tahun lalu, kata Zawiyah yang turut menjaga bapanya, Jusoh Chik, 96.
Menurutnya, beban yang ditanggung turut berganda apabila bapanya kini lumpuh akibat sakit tua.
Zawiyah kini sudah tidak boleh lagi mengambil upah membuat kerja sampingan di kampung kerana terpaksa menjaga bapa dan bekas ibu mentuanya yang memerlukan perhatian hampir sepenuh masa.
Kedua-dua mereka hanya terbaring di tempat tidur kerana tak boleh bergerak dan terpaksa disuap makan serta diuruskan kebersihan diri mereka.
Suami dan anak turut membantu, namun saya terpaksa berada di rumah hampir sepanjang masa dan tak dapat lagi membantu suami yang cuma bekerja sebagai buruh kampung untuk mendapatkan pendapatan tambahan keluarga, katanya.

Dengan pendapatan antara RM400 hingga RM500 sebulan, keluarga mereka sering dilanda masalah kewangan terutama apabila Mek Yam dan Jusoh memerlukan rawatan perubatan secara berterusan.
Kelmarin, keluarga mereka diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Datuk Rosol Wahid, bersama Pengerusi Program Juara Rakyat Hulu Terengganu, Ariffin@Mohd Nasir Ismail dan beberapa pemimpin setempat yang menghulurkan bantuan kewangan serta makanan.
Kami bersyukur kerana mendapat bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana sekurang-kurangnya bapa dan bekas ibu mentua mendapat rawatan yang agak sempurna walaupun kami terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan lain.
Saya juga bersyukur kerana suami dan anak tidak banyak merungut dengan kesempitan hidup sekarang yang memaksa kami tidur di bahagian dapur kerana dua bilik di rumah usang kami didiami bapa dan bekas ibu mentua yang uzur, katanya.

Menurutnya, kepayahan hidup keluarga mereka juga dikongsi bersama masyarakat tempatan yang sering menghulurkan bantuan apabila mereka memerlukannya.
Kelmarin, keluarga mereka diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Datuk Rosol Wahid, bersama Pengerusi Program Juara Rakyat Hulu Terengganu, Ariffin@Mohd Nasir Ismail dan beberapa pemimpin setempat yang menghulurkan bantuan kewangan serta makanan.
Turut hadir, Pengarah Urusan Mumtaz Murad Ali Sdn Bhd, Misesh Ramesh Chugani, yang memberi bekalan lampin pakai buang untuk kegunaan selama enam bulan kepada Mek Yam dan Jusoh.
Related Posts with Thumbnails