29 Mac 2010

Adik ipar dijadikan tebusan


BEIJING – Sekali imbas satu kejadian di Wuxi, China seperti babak cemas dalam sebuah filem Hollywood.

Namun penduduk di bandar itu gempar apabila seorang lelaki bertindak menjadikan adik iparnya sebagai tebusan kelmarin.

Kejadian berlaku apabila lelaki yang cuma dikenali sebagai Hu dan berusia 35 tahun bertindak ganas akibat pengaruh dadah yang diambil di rumah keluarganya pada malam Selasa lalu.

Dia dibawa oleh wanita itu ke sebuah rumah rakannya kelmarin selepas ibu bapanya berasa bimbang dengan penagihan anak mereka.

Hu yang pernah memiliki rekod jenayah tiba-tiba dihantui perasaan takut setelah tersilap faham apabila menyangka ibu bapanya telah dibunuh.

Lelaki itu menculik adik iparnya itu sebelum mengacukan sebilah pisau di lehernya.

Wanita tersebut kemudian menjerit untuk meminta pertolongan.

Adik iparnya sempat melepaskan diri semasa seorang anggota polis bergelut dengannya sebelum dia ditangkap.

28 Mac 2010

Pasangan di China kahwin atas basikal


Pengantin lelaki membawa mempelainya di atas basikal di sebuah jalan di Liuzhou, China barat daya Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, 20 Januari 2010.
Pasangan pengantin baru ini mengadakan majlis perkahwinan di atas basikal disertai oleh lebih dari
30 penunggang basikal teman-teman kepada pengantin lelaki di Liuzhou
pada hari Rabu.

Penunggang-penunggang basikal bersedia untuk pergi bertemu dengan pengantin di Liuzhou, barat daya Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China.

Penunggang-penunggang basikal menunggu pengantin di depan rumah pengantin perempuan.

Makhluk aneh di persisir pantai Wales





27 Mac 2010

Suara ghaib arah gadis terjun


KANGAR Warga Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi di sini semalam diselubungi misteri apabila seorang pelajar perempuan terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah sebaik mendakwa terdengar satu bisikan suara ghaib yang menyuruhnya terjun.

Kejadian pukul 7.05 pagi itu mengakibatkan, Noor Izzatie Nasir, 17, cedera parah apabila tulang pinggul, tangan serta kakinya patah dan kini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Difahamkan, sebelum kejadian itu, pelajar tersebut yang merupakan anak kepada pasangan guru dihantar oleh bapanya pukul 7 pagi ke sekolah berkenaan sebelum dia dilihat seolah-olah berada dalam keadaan separuh sedar.

Pada pagi itu juga, dia sepatutnya menyambung kembali peperiksaan ujian bulanan yang telah pun bermula sejak kelmarin.

Chef hidang keju daripada susu isterinya


NEW YORK – Seorang chef di sebuah restoran di kawasan perumahan Chelsea di sini, Daniel Angerer menghidangkan kepada pelanggan-pelanggan keju yang diperbuat dari susu badan isterinya, lapor akhbar New York Post semalam.

“Rasanya seperti keju susu lembu. Terasa sedikit manis,” katanya.

“Perasa keju itu bergantung kepada bahan-bahan yang dihidangkan bersama dan apa yang dimakan oleh ibu tersebut,” kata Angerer.

Menurutnya, susu badan tidak menjadi dadih dengan baik kerana ia mengandungi kandungan rendah protein.

Dia berkata, susu lembu perlu ditambah sedikit bagi melengkapkan teksturnya.

Katanya, selepas menyebarkan kisah mengenai usahanya menghasilkan keju susu badan manusia di Internet, beberapa pelanggan mula membuat tempahan untuk merasai keju berkenaan.

Maklum balas yang diterima daripada mereka yang pernah mencuba keju tersebut sangat positif walaupun ada pelanggan yang terasa geli untuk menjamahnya.

Pegawai-pegawai di Jabatan Kesihatan New York menyatakan mereka telah menasihati Angerer tidak berkongsi susu badan isterinya dengan orang lain kerana tidak ada peraturan yang menghalangnya untuk berbuat demikian.

“Pihak pengurusan restoran itu tahu bahawa keju diperbuat daripada susu payu dara bukan untuk kegunaan awam sama ada ia dijual atau diberikan,” kata jurucakap jabatan tersebut.

Hantu dilelong RM6,585


WELLINGTON – Dua hantu yang masing-masing terperangkap di dalam dua botol kecil akhirnya dilelong secara talian oleh pemiliknya, Avie Woodbury di New Zealand pada harga NZ$2,830 (RM6,585).

Woodbury dari Christchurch di selatan New Zealand berkata, seorang pengusir hantu dari sebuah gereja berjaya menangkap dua entiti terbabit di rumahnya dan memasukkan mereka ke dalam botol kaca kecil mengandungi air suci.

Hasil penjualan hantu-hantu terbabit akan diserahkan kepada sebuah syarikat jualan bantuan elektronik untuk golongan yang berhenti rokok.

Penjualan itu telah disahkan oleh laman web lelongan Trademe semalam.

Laman tersebut menolak tawaran oleh seorang pembida palsu yang menyebabkan harga lelongan mencecah sehingga AS$5,000 (RM16,710).

Hantu itu dikatakan seorang lelaki tua bernama Les Graham yang meninggal dunia di rumahnya pada 1920-an dan seorang budak perempuan yang muncul mengganggu rumah itu selepas satu permainan memuja roh diadakan.

Woodbury berkata, hantu-hantu itu menyebabkan dia tidak dapat makan atau tidur selain mengganggu dengan memasak air panas, menyentuh belakang leher, bersuara dari bilik lain dan menghilangkan barangan sebelum muncul di tempat lain.

“Anjing di rumah menjadi ‘gila’ dan tidak mahu pergi ke bilik-bilik tertentu manakala anak perempuan saudara saya terpaksa duduk bersama saya selepas dia berkata pernah bercakap dengan seorang kanak-kanak perempuan.” katanya.

Misteri ratusan burung jatuh dari langit


BATH, England – Pada Ahad lalu, satu kejadian seperti dalam filem seram Hitchcock’s The Birds berlaku di sini.

Kejadian itu berlaku apabila lebih 100 ekor burung perling jatuh dari langit di luar taman sebuah rumah di Somerset, barat England.

Bangkai-bangkai burung itu bertaburan dengan setiap seekor mempunyai kesan darah meleleh daripada paruh masing-masing manakala kuku haiwan tersebut kelihatan mencengkam seperti berada dalam kesakitan.

Enam ekor didapati masih bernyawa namun sebahagian besarnya ditemui mati dan menggelupur lemah menahan kesakitan.

Menurut pemilik rumah itu, Julie Knight, dia baru pulang ke kediamannya yang terletak di sebuah desa terpencil Coxley pada pukul 4.15 petang apabila melihat pemandangan mengerikan itu.Seorang jiran wanita itu memberitahu, dia melihat langit seperti dihujani burung tersebut jatuh ke tanah.

“Kami menghubungi Persatuan Perlindungan Penganiayaan Haiwan Diraja British manakala pegawai-pegawai kebajikan haiwan mengutip beberapa ekor burung itu untuk dimasukkan ke dalam sangkar.” kata Julie kepada sebuah akhbar yang menyiarkan ceritanya semalam.

Nenek 129 tahun manusia tertua


TBILISI – Seorang wanita di Georgia mendakwa dia berusia kira-kira 129 tahun sekali gus menjadikannya manusia tertua di dunia yang masih hidup, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa dokumen pengenalan diri yang ditemui sebuah stesen televisyen tempatan menyatakan wanita itu, Antisa Khvichava (gambar) lahir pada 8 Julai, 1880.

Dia kini tinggal di kampung Sachino, pedalaman Banjaran Caucasus, kira-kira 272 kilometer dari sini bersama seorang anak lelakinya, beberapa cucu dan sejumlah cicit.

“Nenek saya berusia 130 tahun,” kata seorang cucu perempuannya, Shorena Khvichava.

Seorang pegawai Agensi Pendaftaran Awam Georgia, Gia Vashadze berkata, dia berharap dapat membuktikan usia Khvichava dalam buku Guinness Book of World Records.

Ketika ini, gelaran rasmi kategori berkenaan dipegang seorang warga Jepun yang berusia 114 tahun.

Misteri batang pokok dibalut sulaman


NEWARK, Amerika Syarikat – Seorang individu misteri di West Cape May di New Jersey membalut dahan beberapa pokok dan tiang lampu dengan sulaman pada waktu malam.

Mereka menggelarkan individu terbabit sebagai Penyulam Tengah Malam dan kegiatan itu menyebabkan batang-batang pokok dan tiang-tiang lampu berubah menjadi seperti baju sejuk kecil yang berwarni-warni.

Datuk Bandar, Pam Kaithern berkata, pihak polis sedang memburu gerila pengait itu yang secara teknikal dianggap sebagai melanggar undang-undang kerana menyulam jahitan terhadap harta benda awam tanpa kebenaran.

Namun sebuah akhbar tempatan melaporkan, datuk bandar itu dan ramai penduduk mengakui terpesona dengan suasana warna-warni yang ceria akibat balutan tersebut.

Kuda belang cuci gigi badak air


ZURICH, Switzerland – Seekor kuda belang mencuci gigi badak air di Zoo Zurich di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Adegan mendebarkan itu dirakamkan baru-baru ini oleh seorang jurugambar amatur dari Amerika Syarikat (AS), Jill Sonsteby, 34.

“Badak air itu membuka mulutnya dengan luas dan membiarkan kuda belang itu membersihkan giginya. Terdapat 20 pelawat yang menyaksikan adegan yang menghiburkan itu selama kira-kira 15 minit,” katanya.

Berat badak itu ialah tiga tan dan merupakan mamalia ketiga terbesar di dunia.

Jamuan tengah hari terpanjang dunia


MELBOURNE – Seramai 5,000 orang makan tengah hari di meja sepanjang 400 meter dengan melibatkan 900 pelayan di sini semalam.

Acara itu dikenali sebagai jamuan makan tengah hari paling panjang di dunia yang diadakan sempena Festival Makanan Melbourne di Australia.

Ia merupakan majlis kebajikan hasil inisiatif Pertubuhan Hospitaliti, Pekerjaan dan Latihan yang dianjurkan untuk membantu golongan yang merempat.

UFO terbang


KUALA LUMPUR Sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) didakwa muncul ketika hujan renyai di ruang udara kawasan perumahan di Damansara Damai, Petaling Jaya malam kelmarin.

Walaupun ia muncul untuk tempoh 15 saat pada pukul 7.11 malam, seorang penghuni sebuah kondominium tingkat 14 di situ sempat merakamkan tiga keping gambar sebelum ia hilang di depan matanya sendiri.

Bagi pengurus sebuah syarikat perabot, Mohd. Zulfikar Abdul Rahman, 37, imej pada tiga keping gambar itu akan menjadi kenangannya sepanjang hayat.

UFO diramal muncul di Lembah Klang tiga bulan lagi


LUMPUR – Seorang pengkaji makhluk asing tempatan, Ahmad Jamaludin (gambar) meramalkan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) akan muncul sekali lagi dalam masa tiga bulan ini di ruang udara Lembah Klang.

Pengkaji UFO bebas dari Kuala Terengganu itu berkata, kebiasaannya, tiga bulan merupakan waktu maksimum bagi UFO untuk muncul.

Otak manusia mengecil


PARIS – Otak manusia semakin mengecil, kata beberapa saintis yang membina semula replika tengkorak berusia 28,000 tahun yang ditemui di Perancis.

Satu pasukan saintis menyatakan otak manusia itu 20 peratus lebih besar berbanding sekarang.
Tengkorak berusia 28,000 tahun itu dikenali sebagai Cro Magnon 1 iaitu nama yang diambil sempena sebuah gua di Dordogne iaitu lokasi ia ditemui. Kajian itu menunjukkan bahawa otak manusia menjadi semakin efisien seperti komputer yang saiznya kian kecil.

Projek itu mencetuskan persoalan iaitu: “Sekiranya kepala manusia mula mengecut, kenapakah ia berlaku?,” lapor sebuah akhbar semalam.

Cro Magnon 1 disimpan di Muzium Nasional Sejarah Alam Semulajadi Perancis di Paris sejak ia ditemui bersama lima rangka manusia pada 1868.

Tengkorak itu milik seorang lelaki yang memiliki tubuh yang sempurna dan setinggi 1.8 meter. Beberapa teori timbul untuk menerangkan misteri pengecilan otak.

Salah satunya ialah kepala bersaiz besar perlu bagi kehidupan manusia paleolitik awal dalam cuaca sejuk dan terlibat dalam aktiviti luar rumah.

Rumah terbalik di zoo Jerman


BERLIN – Sekumpulan tiga tukang kayu Jerman yang diketuai Gerhard Mordhorst bersama rakannya, Gesellse Splettster dan Manfred Kolax mencipta sebuah rumah terbalik seberat 40 tan dekat sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kediaman unik itu dicipta untuk sebuah zoo tempatan di Gettorf, 308 kilometer dari sini dengan mengandungi sebuah dapur, bilik mandi, bilik tidur dan ruang tamu yang disusun secara terbalik.

Bangunan kayu tersebut mencapai ketinggian lebih tujuh meter dan mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan sebelum dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 30 Mac ini.

Rumah itu mirip kisah daripada sebuah buku cerita kanak-kanak terkenal The Twits karya penulis British, Roald Dahl.

Antara kelengkapan dalam rumah itu ialah katil, ketuhar gelombang mikro dan lukisan.

Perabot paling berat ialah almari pakaian yang mencecah 45 kilogram.

Lelaki terpendek dunia meninggal dunia


LONDON – Lelaki paling pendek di dunia, He Pingping yang setinggi 75 sentimeter telah meninggal dunia di Rom, Itali pada Sabtu lalu kerana komplikasi jantung, kata Guinness World Records kelmarin.

Pingping yang berasal dari China dan kerdil sejak kecil akibat penyakit tumbesar terbantut itu berada di Rom untuk mengambil bahagian dalam satu rancangan televisyen, The Record Show.

Dia kemudiannya dihantar ke sebuah hospital pada 3 Mac lalu selepas mengadu sakit dada.

Doktor di hospital itu mendapati dia mengalami masalah jantung dan kolesterol tinggi.

Ketua Pengarang Guinness World Records, Craig Glenday pernah mengukur ketinggian Pingping di pedalaman Mongolia pada 2008.

“Sejak kali pertama saya melihatnya, saya tahu dia ialah seorang yang istimewa.

“Dia menceriakan hidup setiap orang yang ditemuinya selain menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang dianggap pelik atau luar biasa,” tambah Glenday.

Pihak Guinness World Records menyatakan pengganti Pingping akan diumumkan.

Sebelum ini, remaja Nepal, Khagendra Thapa Magar berusia 18 tahun mempunyai ketinggian 51 sentimeter mendakwa pada Februari lalu bahawa dia ialah orang yang paling layak untuk memegang gelaran lelaki terpendek dunia.

Yu paus dua tan ditemui


Pasir Puteh – Penduduk Tok Bali di sini gempar apabila sekumpulan nelayan laut dalam membawa pulang seekor ikan yu paus dipercayai spesies purba di Pangkalan Kekal Lestari malam semalam.

Ikan seberat dua tan itu ditemui ketika nelayan tersebut memasuki kawasan pulau berdekatan Kuala Besar, Kota Bharu untuk mencari perlindungan daripada ancaman laut bergelora.

Tekong bot tersebut, Ek Chai Suwanpong, 46, berkata, ikan spesis Rhino-Typicus sepanjang tujuh meter itu ditemui kira-kira pukul 8 pagi semalam.

Lelaki sanggup makan otak budak


QIXIAN – Seorang lelaki China didakwa membunuh seorang budak lelaki berumur 11 tahun dan memakan otaknya bagi mengubati penyakit sawan yang dihidapinya di Yunan, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada Rabu lalu, akhbar Shenghuo Xinbao melaporkan Chaoxu, 29, telah ditangkap selepas dia dilihat oleh seorang saksi memegang leher budak itu.

Saksi itu menyatakan budak lelaki itu, Li Xuetang kelihatan seperti tidak sedarkan diri dan terdapat darah pada mulutnya semasa Chaoxu memegang lehernya.

Polis kemudian menemui mayat budak itu ditanam di sebuah ladang kacang pis selepas dia dilaporkan hilang oleh ibu bapanya pada 23 Januari lalu.

Seorang ketua kampung, Wang Wenzhong menemui dua tompokan darah pada batu di ladang itu dan beberapa tulang sebelum mayat budak tersebut ditemui ditanam di kawasan berhampiran.

Bahagian atas kepala budak itu dikopek manakala otaknya telah dikeluarkan semasa mayatnya ditemui pada hari yang sama dia dilaporkan hilang.

Selepas ditangkap, lelaki itu memberitahu polis bahawa dia memakan otak bersama cacing tanah dan semut kerana dia mempercayai cerita rakyat bahawa penyakitnya dapat disembuhkan melalui cara tersebut.

Chaoxu menyatakan kepada polis dia telah berkahwin dengan seorang jururawat tetapi isterinya meninggalkannya kerana penyakit sawan itu menyebabkan dia tidak mampu untuk bekerja.

Polis kini sedang melakukan siasatan sama ada seorang budak perempuan berumur tiga tahun yang didapati hilang turut mempunyai kaitan dengan kes itu.

Pelajar temui fosil dinosaur ganas


LONDON – Seorang pelajar ijazah kedoktoran, Michael Pittman telah menemui fosil dinosaur terbaru yang diberi nama Linheraptor, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia dan rakannya, Jonah Choiniere dari Universiti George Washington Amerika Syarikat (AS) membuat penemuan itu di wilayah Inner Mongolia, China.

Dinosaur berkuku tajam seperti sabit itu hidup sekitar 75 juta tahun lalu dengan memakan haiwan kecil termasuk burung.

Ia mempunyai berat kira-kira 25 kilogram dan panjang 2.4 meter.

Bentuk Linheraptor menyerupai Velociraptor iaitu dinosaur kecil tetapi amat ganas seperti yang dipaparkan dalam filem Jurassic Park.

Penemuan itu diberikan gambaran terperinci dalam jurnal Zootaxa semalam.

Menurut pakar paleontologi, Profesor Xu Xing di Beijing, fosil yang ditemui itu amat cantik dan ia mendokumentasikan satu peralihan evolusi.

Potong hidung isteri kerana aibkan mentua


KABUL – Seorang wanita Afghanistan, Bibi Aisha nyaris maut selepas hidung dan telinganya dipotong oleh suami sendiri kerana dia didakwa memalukan keluarga mentuanya.

Dalam satu wawancara yang disiarkan televisyen tempatan, mangsa berusia 19 tahun itu mendakwa keluarga mentuanya malu berikutan dia melarikan diri daripada rumah suaminya dengan bantuan dua jiran perempuan.

Dakwa Bibi, dia bertindak melarikan diri kerana tidak dapat bertahan dengan layanan buruk keluarga suaminya.

Misi Bibi melarikan diri ke Pakistan gagal setelah dia dan dua rakannya ditangkap pihak berkuasa. Dia kemudian dibawa balik oleh keluarga mentuanya sebelum dijatuhi hukuman potong kedua-dua telinga dan hidung mengikut adat tradisi kaum Pashtun.

Selepas menjalani hukuman, Bibi ditinggalkan di tempat terbuka di wilayah Oruzgan yang dikuasai Taliban.

Wanita itu diselamatkan oleh sekumpulan petugas kontraktor firma Amerika Syarikat dan diberi perlindungan oleh sebuah badan bukan kerajaan tempatan yang turut mengurus ribuan kes serupa.

“Saya pengsan semsa hidung dan telinga dipotong. Sejurus sedar saya berasa ada air dingin yang mengalir di hidung dan apabila membuka mata, saya tidak sanggup melihatnya kerana darah berada di mana-mana,” kata Bibi.

TM Fiesta Cabaran Candat Sotong 2010 tawar RM277,000


KUALA TERENGGANU – Perairan di negeri ini kembali meriah selepas musim tengkujuh dengan bermulanya aktiviti mencandat sotong yang menjadi antara tarikan utama pelancongan.

Sebagai membuka tirai, kerajaan negeri akan menganjurkan TM Fiesta Cabaran Candat Sotong 2010 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM277,000 yang meliputi empat sirkit bermula pada 27 Mac ini hingga 26 Jun depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelanco- ngan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib, sirkit pertama akan diadakan di Marang (27 Mac), kedua di Besut (24 April), ketiga Kuala Terengganu (29 Mei) sebelum berakhir di Dungun (26 Jun).

Katanya, bagi pertandingan itu, antara kategori yang dipertandingkan ialah sotong terberat (kumpulan), terpanjang (kumpulan), terbanyak (kumpulan), terpanjang (individu) serta tekong terbaik.

“Maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut boleh diperoleh di www.image-promote.com atau dengan menghubungi talian 09-6317237 atau 09-6265236,” katanya ketika ditemui selepas perasmian pertandingan itu di sini petang kelmarin.

Protes lukisan darah


BANGKOK – Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai Baju Merah semalam menggunakan darah manusia untuk menghasilkan lukisan selain menolak tawaran rundingan kerajaan bagi mengakhiri tunjuk perasaan.

Kumpulan itu menulis puisi, gambar dan slogan-slogan politik di atas kain kanvas putih dengan menggunakan baki darah yang mereka dermakan sebelum ini.

Sebelum ini darah itu disimbah di rumah Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan pejabat kerajaan pada minggu lalu.



“Generasi akan datang akan tahu bahawa generasi lama sanggup berkorban apa sahaja termasuk darah mereka,” kata seorang ahli puisi yang menyertai tunjuk perasaan tersebut, Visa Kantab.

Tunjuk perasaan yang berlangsung selama lapan hari itu dilakukan oleh para penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang mendakwa kerajaan pimpinan Abihisit tidak sah selain menuntutnya segera meletak jawatan dan mengadakan satu pilihan raya baru.

Abhisit dipilih oleh anggota-anggota Parlimen pada Disember 2008 bagi menggantikan Chaovarat Chanweerakul yang menjadi perdana menteri sementara.

“Kami yakin Abhisit tidak akan bosan,” kata seorang pemimpin Baju Merah, Nattawut Saikur.

“Kami juga tidak akan berunding dengan sesiapa kecuali Abhisit dan cuma satu topik iaitu bubarkan kerajaan,” kata seorang lagi pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan. – AFP

Tentera India guna senjata cili


GAUHATI, India – Tentera India kini memiliki senjata baru bagi menentang pengganas iaitu cili paling pedas di dunia.

Beberapa pegawai pertahanan semalam berkata, pihak tentera akan menggunakan cili yang dinamakan bhut jolokia atau cili hantu itu untuk menghasilkan gas pemedih mata dalam bentuk bom tangan bagi menumpaskan suspek.

“Grenad bhut jolokia akan menjadi senjata tanpa toksik yang berkesan kerana bau pedasnya membuatkan pengganas tercekik sekali gus memaksa mereka keluar dari tempat persembunyian,” kata Pengarah Jabatan Sains Hayat Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO), R. B. Srivastava.

Cili itu disenaraikan Guinness World Records pada 2007 sebagai cili paling pedas di dunia yang dimakan untuk merawat masalah perut dan cuaca panas.

Ia yang ditanam di timur laut India jauh lebih pedas berbanding sos Tabasco atau lada jalapeno.

Penduduk tangkap ular sawa 100kg


KUANTAN – Penduduk Kampung Kolek di Sungai Lembing dekat sini gempar apabila seekor ular sawa sepanjang lebih lapan meter ditemui berkeliaran di sebuah kawasan paya di kampung itu malam kelmarin.

Ular seberat hampir 100 kilogram itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada pukul 8.30 malam.

Pembantu Operasi JPAM, Abu Bakar Omar, 22, berkata, ular tersebut yang mengalami kecederaan di perut mungkin sedang mencari makanan sebelum ditangkap penduduk kampung.

Anjing gonggong mayat bayi lelaki


PETALING JAYA – Menyayat hati apabila mayat bayi lelaki yang dibuang ibu bapanya digonggong seekor anjing sebelum disedari orang awam di Jalan Padang Tembak, Subang di sini semalam.

Lebih menyedihkan, ketika ditemui pukul 4.05 petang, salah satu tangan bayi telah terputus dan terjatuh atas jalan manakala badannya digonggong anjing berkenaan.

Ketika itu, tangan bayi itu dibungkus dengan plastik manakala badannya pula tidak berbalut.

Misteri kehilangan remaja pintar


SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan pintar yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007, hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, di sini, empat hari lalu, dipercayai dilarikan orang tidak dikenali.


Halimaton Abdul Rashid, 15, murid Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang (SMKPP), Baling, disedari hilang oleh kakaknya, Hamiza, 23, pada jam 6.45 petang Isnin lalu selepas pulang dari berkerja.

Sebelum keluar rumah untuk ke tempat kerja pada pagi itu, saya sempat membelikannya dua bungkus nasi lemak dan ketika itu Halimaton sedang bersiap untuk ke sekolah. Sebaik pulang ke rumah pada petangnya, saya dapati pintu biliknya terbuka, tetapi dia tiada. Keadaan dalam biliknya berselerak seperti diselongkar, manakala nasi lemak yang saya beli bertaburan atas lantai.

Saya tunggu hingga malam, tetapi dia tidak pulang. Puas saya mencari di sekitar bandar ini, tetapi tidak menemuinya, katanya ketika ditemui semalam.

Hamiza berkata, beliau kemudian menelefon ibu yang tinggal di Kupang, Baling, tetapi dimaklumkan Halimaton tidak ke sana.

Beliau bertambah bimbang apabila pihak sekolah memaklumkan adiknya tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.
Hamiza bimbang Halimaton dilarikan atau dipaksa mengikut orang tidak dikenali berdasarkan keadaan biliknya yang berselerak.

Saya hairan kerana jika melarikan diri dari rumah, mengapa telefon bimbit tidak dibawa bersama, sebaliknya hanya membawa kad pengenalan dan buku bank. Malah, semua pakaiannya tidak dibawa dan kami tidak pernah berselisih faham, katanya.

Beliau berkata, Halimaton yang menghadapi masalah rabun adalah murid yang cerdik, selain menjadi pengawas di sekolah.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Halimaton boleh menghubunginya di talian 012-5147071 atau mana-mana balai polis.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan kes selepas menerima laporan kehilangan Halimaton.

Katanya, kes disenaraikan sebagai orang hilang dan gambarnya sudah diedarkan ke balai polis di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai membantu mengesan mangsa.

Kita masih menyiasat kes, termasuk kemungkinan dia dilarikan orang tertentu berdasarkan laporan kakak mangsa yang mengatakan ada kesan berselerak di rumahnya pada hari kehilangan Halimaton, katanya.

Debar meniti wayar kereta kabel


ORANG ramai dengan menyaksikan aksi penuh debaran nekad Encik Freddy takik dari swiss Berjalan di atas kereta kabel wayar pancut 690 meter di kawasan pergunungan Zhangjiajie, China, kelmarin.

Encik takik percubaannya Bagaimanapun selepas gagal dalam Berjalan Sejauh 200 meter ekoran keadaan yang LICIN wayar dan angin terlalu Kencang.

Pengalaman gerun hujan air batu


RIBUT air batu yang melanda Perth, Australia, petang kelmarin hampir melumpuhkan bandar di negara kanggaru itu.

Selain menyebabkan bekalan elektrik terputus, kerosakan harta benda, banjir dan tanah runtuh, bencana alam itu turut menyebabkan lapangan terbang, sekolah- sekolah dan pusat pengajian tinggi ditutup buat sementara waktu.

Bagi pelajar Singapura yang menuntut di Universiti Western Australia (UWA) seperti Muhammad Azimin Saini, 23 tahun (atas), fenomena alam itu cukup menakjubkan.

Namun bagi mereka kejadian yang agak menggerunkan itu - langit tiba-tiba menjadi gelap, hujan ribut dan bebola air batu turun mencurah - bakal dijadikan 'oleholeh' kenangan hidup mencari ilmu di rantau orang apabila pulang ke tanah air kelak.

Lebih 1,000 sekolah ditutup dek kemarau panjang


KUNMING (China): Para penduduk kampung China, seperti lelaki dan anak perempuannya ini, berjalan pulang selepas mengambil air kecemasan yang dibekalkan oleh pemerintah bandar Awang, dekat sini, di wilayah Yunnan di barat daya China.

Pemerintah wilayah itu terpaksa mengorek perigiperigi kecemasan dan menjalankan operasi menyemai awan di kawasan selatan China.

Daerah selatan China telah mengalami musim kemarau paling teruk dalam masa beberapa dekad yang mengakibatkan para penduduknya kehilangan sumber bekalan air.

Keadaan ini menyebabkan lebih 1,000 sekolah terpaksa ditutup, kata para pegawai kelmarin

Terpaksa dibedah kerana main SMS



CHICAGO - Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Lincolnshire, Illinois, Amerika Syarikat (AS), Annie Levitz bakal menjalani pembedahan di kedua-dua pergelangan tangannya selepas dia menghantar lebih 100 khidmat pesanan ringkas (SMS) sehari dari telefon bimbitnya, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Levitz yang berusia 16 tahun hilang deria rasa pada kedua-dua tangannya dan dia tidak boleh mengangkat barang-barang tertentu akibat terlampau aktif menghantar SMS.

Dia perlu memakai pendakap tangan dan mendapatkan suntikan penahan sakit.

Doktor menyatakan Annie mengalami sindrom carpal tunnel.

Sindrom itu sering dikaitkan dengan penggunaan komputer yang kerap.

"Ia (sindrom itu) bermula apabila tangan saya berasa kebas. Saya kemudian cuba mengangkat pinggan tetapi ia jatuh," katanya.

Namun, dia masih perlu menjalani pembedahan bagi memulihkan penyakitnya itu.

Seorang pakar reumatologi, Dr. Sofia Aksentijevich berkata, sindrom itu jarang berlaku pada pesakit muda tetapi ia bukan kes yang unik.

Bergayut untuk ke sekolah


BOGOTA - Beberapa pelajar sekolah rendah bergayut pada talian kabel dengan ketinggian lebih 396.24 meter semasa menyeberangi gaung di Rio Negro, Colombia untuk berulang-alik ke sekolah, lapor sebuah akhbar semalam.

Pelajar-pelajar itu bergayut pada kabel yang direka supaya mereka menuruni dari sebuah bukit untuk menuju ke sebuah bukit lain selaju 64 kilometer sejam ke sebuah pekan berdekatan.

Pengguna-pengguna kabel itu menggunakan sejenis peralatan kayu seperti garpu untuk mengawal kelajuan.

Kemudahan itu disediakan untuk sejumlah keluarga yang tinggal 63.37 kilometer dari ibu negara Colombia, Bogota di Amerika Selatan.

Petani-petani turut menggunakan kabel itu bagi mengangkut barangan sejauh hampir satu kilometer kerana ia cuma satu-satunya akses untuk pergi ke sebuah pekan berhampiran.

Jurugambar yang juga seorang penulis, Christoph Otto telah merakamkan gambar-gambar pelajar sekolah rendah yang menggunakan talian kabel itu dan disiarkan di sebuah akhbar di Britain.

Ribut pasir landa China


BEIJING - Ribut pasir yang melanda seluruh China semalam menyebabkan sejumlah bandar-bandar diselubungi pasir dan batu halus sekali gus mengancam kesihatan penduduk.

Kejadian itu merupakan kesan terbaru akibat pembersihan hutan, pembangunan dan kemarau yang berlaku di bahagian utara serta barat China.

Angin bertiup dari barat laut negara itu dengan membawa pasir ke seluruh China sejak Sabtu lepas sekali gus menjejaskan penduduk di Xinjiang dan Beijing.

Sebuah lapangan terbang di Pulau Matsu, Taiwan menggantung perkhidmatan kelmarin akibat jarak penglihatan yang kabur ekoran ribut pasir.

Di Hong Kong, pegawai-pegawai berkata, seramai 20 orang terpaksa mendapatkan rawatan perubatan kerana masalah kesihatan.

Lelaki paling bijak dunia tolak hadiah AS$1 juta


ST PETERSBURG - Walaupun memenangi hadiah wang sebanyak AS$1 juta (RM3.3 juta) kerana menyelesaikan masalah matematik paling sukar sejak 100 tahun lalu, hadiah itu ditolak bulat-bulat oleh pakar matematik Rusia, Dr Grigory Perelman (gambar).

Bukan sahaja hadiah, lelaki berkenaan turut menolak gelaran manusia paling bijak di dunia yang diberikan kepadanya.

"Saya tidak memerlukan hadiah. Apa yang saya miliki sudah mencukupi," kata Perelman berhubung tawaran oleh Institut Matematik Clay di Cambridge, Negeri Massachusetts iaitu sebuah institut berprestij dari Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu.

Dia yang berusia 44 tahun, diberikan hadiah itu kerana berjaya menyelesaikan masalah geometri sukar yang dinamakan Poincaré conjecture.

Empat tahun lalu, setelah dia menghantar jawapan bagi masalah matematik itu di Internet, Perelman tidak hadir untuk menerima anugerah penghargaan daripada Kesatuan Matematik Antarabangsa (IMU) di Madrid.

Pakar matematik itu yang tidak lagi bekerja dengan institut Steklov kini tinggal berseorangan di sebuah flat kecil di sini yang kotor dan dipenuhi lipas.

"Saya tidak berminat dengan wang atau pun nama," kata lelaki itu.

Seorang jirannya, Vera Petrovna berkata, dia terkejut melihat keadaan daif di flat Perelman.

"Lelaki itu cuma memiliki sebuah meja, kerusi dan katil dengan cadar kotor,".

"Kami cuba menghapuskan lipas di blok kami tetapi semua serangga itu bersembunyi di flatnya," kata wanita tersebut.

Perelman mula menghantar jawapan untuk masalah matematik itu semasa bekerja sebagai penyelidik di Institut Matematik Steklov, di sini pada 2003. - Agensi

Tali tersangkut pada pundi kencing


CHONGQING - Seorang lelaki di China terpaksa dibedah setelah tali skip sepanjang 85 sentimeter tersangkut pada pundi kencingnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Ia tersangkut selepas buruh berusia 58 tahun dari sini, Zhao Chenglin, memasukkan tali itu ke dalam zakarnya sebagai aksi satu permainan seks.

Dia memasukkan hampir kesemua tali itu ke dalam lubang kencingnya.

Namun, malangnya, tali itu tersangkut semasa dia cuba menariknya keluar.

Pemeriksaan di sebuah hospital kemudian mendapati tali itu bergumpal dan tersangkut pada pundi kencing lelaki tersebut.

Disebabkan tidak mampu membayar kos rawatan, Chenglin terpaksa hidup dalam kesakitan selama dua bulan sehingga rakannya berjaya memujuk seorang pakar di sebuah hospital untuk membantunya.

Dia dimasukkan ke hospital berkenaan pada hari sama sebelum tali itu berjaya dikeluarkan oleh sepasukan pakar bedah, baru-baru ini. - Agensi

Tembak diri di depan pengantin


ASTRAKHAN, Rusia - Seorang lelaki bernasib baik kerana masih hidup selepas dia melepaskan tembakan di kepalanya dalam satu permainan pada majlis perkahwinan di depan pengantin di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Bagaimanapun, pistol itu cuma mengandungi peluru getah yang mengenai tengkoraknya, menyebabkan dia cedera parah dan dirawat di sebuah hospital, baru-baru ini.

Insiden itu berlaku apabila seorang rakan pengantin lelaki mengajak tetamu lain bermain permainan memetik picu pistol Russian Roulette di kepala bagi memeriahkan acara berkenaan.

Lelaki itu yang menyangka pistolnya tidak berpeluru, menyerahkan senjata kepada si mangsa setelah gilirannya selesai.

Mangsa kemudian mengacu pistol itu ke kepalanya dan memetik picu sebelum dia rebah ke lantai akibat terkena tembakan.

Namun, polis kemudiannya menangkap lelaki yang menganjurkan permainan memetik picu pistol itu. - Agensi

Bapa dakwa bercakap dengan roh Irwin


BRISBANE - Bob Irwin, bapa pemburu buaya dari Australia, mendiang Steve Irwin yang meninggal dunia hampir empat tahun lalu mendakwa bercakap dengan roh anaknya itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut Bob, perbualan dengan anaknya itu berlangsung hasil bantuan seorang pakar psikik ternama, Deb Webber.

Dia memberitahu sebuah majalah Australia, Webber yang menjadi perantara dengan roh itu memberitahunya bahawa Steve bertanya, apakah yang dilakukan oleh Bob terhadap sepasang stoking lama dan topinya yang direnyuk.

"Dia (Steve) menyatakan semuanya baik dan meminta saya tidak bersedih tetapi terus berjuang menjaga nasib haiwan," kata Bob yang juga pengasas Zoo Australia bersama Steve dan kini mengurus sebuah pusat penjagaan haiwan.

Pakar psikik itu berkata, roh Steve bersemadi dekat jeram di Sungai Burdekin, tempat dua beranak itu menghabiskan masa bersama dengan duduk di sekeliling unggun api dan menangkap buaya.

Steve meninggal dunia semasa berusia 44 tahun selepas jantungnya tertusuk ekor ikan pari di perairan Terumbu Besar Australia di Queensland pada 2006. - Agensi

Kos baiki kereta sport RM1.4 juta


ABERDEEN, Scotland - Sebuah firma insurans menanggung kerosakan sebanyak £300,000 (RM1.4 juta) sebuah kereta sport Pagani Zonda yang rosak di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta Pagani Zonda S itu rosak teruk apabila pemandunya hilang kawalan sebelum ia melanggar tiang telefon dan merempuh pagar semasa satu sesi uji pandu di sini, baru-baru ini.

Namun, kereta itu akan dihantar ke Itali iaitu tempat ia dikilangkan bagi kerja-kerja pembaikan yang dijangka siap pada Mei depan.

"Kos pembaikan ini adalah yang terbesar untuk kereta persendirian di Britain," kata seorang jurucakap firma insurans kereta itu, Aviva.

Cuma 10 buah kereta Zonda yang setiap satunya berharga kira-kira £528,000 (RM2.6 juta) dan mampu mencapai kelajuan 352 kilometer sejam, dikeluarkan pada setiap tahun. - Agensi

Tiga UFO di langit Sydney


SYDNEY - Seorang wanita, Fiona Hartigan merakamkan gambar yang dipercayai beberapa objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor sebuah akhbar semalam.

Objek berbentuk piring itu muncul di sebalik awan dan menjunam rendah di sebatang jalan raya yang sibuk di sini sebelum memecut ke ufuk barat.

Menurut wanita itu, dia baru sahaja keluar dari keretanya pada petang Ahad lepas untuk merakamkan gambar matahari terbenam apabila kejadian aneh itu berlaku.

"Semasa saya hendak merakamkan gambar, objek hitam ini (UFO) muncul dan mula bergerak pada jarak kira-kira 800 meter tetapi ia semakin dekat," katanya.

"Setelah berada pada jarak kira-kira 400 meter, dua lagi piring terbang kecil muncul di langit tanpa mengeluarkan bunyi," tambah wanita itu.

Menurutnya, UFO besar itu kemudian memecut ke satu arah manakala dua UFO kecil hilang daripada penglihatan. - Agensi

Lelaki China miliki buah dada besar


BEIJING - Seorang petani China, Guo Feng, 53, terpaksa menerima rawatan di Hospital Dada Jinan di sini kerana dia memiliki buah dada terbesar di dunia sehingga sering mengganggu tugas hariannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu berkata, buah dadanya mula membesar 10 tahun lalu dan keadaan tersebut menyebabkan ramai penduduk tempatan sanggup berbaris panjang di ladang tenusu miliknya untuk melihat dan kemudian mentertawakan pula dirinya.

Mereka akan memaksa Feng memakai baju tebal sepanjang masa walaupun semasa cuaca panas dan dia mendakwa terkilan dengan keadaan itu sehingga pernah bercadang untuk memotong sendiri buah dadanya jika tiada sesiapa yang mahu membantu.

"Saya sudah pergi dari sebuah hospital ke hospital yang lain tetapi tiada siapa mahu menolong dan saya telah menghabiskan banyak wang untuk pemeriksaan namun masih belum ada penyelesaian dan buah dada saya kian membesar," katanya.

Seorang doktor, Zhang Lilan dari Hospital Dada Jinan berkata, beliau sendiri tidak pernah melihat keadaan sedemikian sepanjang 30 tahun bertugas sebagai pakar dan mengesahkan Feng adalah lelaki normal kecuali bahagian buah dadanya. - Agensi

Budak hilang otak kanan


JAMESTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang budak perempuan di sini, Carolina Utara, sembuh setelah kehilangan separuh otaknya dalam satu pembedahan sekali gus dianggap satu keajaiban oleh doktor dan keluarganya, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak tersebut, Cameron Mott berumur sembilan tahun menghidap penyakit ganjil, sindrom Rasmussen apabila otak kanannya 'dimakan' kuman semasa berusia tiga tahun dan terpaksa dibedah untuk menyelamatkan nyawanya.

Kanak-kanak itu menjalani pembedahan membuang otak kanannya pada 2008 dan doktor-doktor memberitahu dia akan lumpuh kerana sebelah kiri tubuhnya yang dikawal organ itu tidak akan berfungsi.

"Ia amat menakutkan kerana anda tidak dapat membayangkan keadaan anak anda selepas dia menjalani pembedahan otak itu," kata ibunya, Shelly Mott kepada Ann Curry iaitu hos program bual bicara Today Show, terbitan stesen televisyen NBC, baru-baru ini.

Namun, Cameron yang bercita-cita menjadi seorang penari balet, dibenarkan pulang selepas hanya empat minggu dia dibedah.

Dia menamatkan rawatan fisioterapi baru-baru ini dan kini boleh berlari dan bermain seperti kanak-kanak normal tetapi mengalami rabun penglihatan tidak serius. - Agensi

Keberanian buruh binaan di New York


NEW YORK - Imej buruh binaan berjalan di atas palang-palang besi puluhan meter dari tanah di Amerika Syarikat (AS) di tapak pembinaan bekas bangunan World Trade Centre (WTC) di sini menyerupai senario yang berlaku pada tahun 1930-an, lapor sebuah akhbar semalam.

Seperti generasi sebelumnya, mereka masih lagi berani dan kental sekali gus menjadi simbol terbaik pekerja kolar biru negara kuasa besar itu.

Pemandangan tersebut dirakam pada Rabu lepas, semasa kerja-kerja membina empat buah menara pejabat di tapak bangunan WTC di sini yang musnah semasa serangan pengganas pada 11 September 2001.

Senario sama dapat dilihat semasa pembinaan bangunan Rockfeller di sini pada 1932. - Agensi
Related Posts with Thumbnails