24 Sep 2014

Kanak-kanak berjalan 5 km dalam tidur

HONNINGSVAG - NORWAY. Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun telah mengejutkan keluarganya, apabila berjalan dalam tidur lebih lima kilometer ke pekan berhampiran ketika cuaca sejuk. Memetik laporan Finnmark Dagblad, kanak-kanak itu hanya memakai seluar dalam dan sepasang kasut tidur. Kanak-kanak akhirnya ditemui tanpa luka di bandar Honningsvag di bahagian utara Mageroeya selepas penduduk tempatan menghubungi pihak polis selepas melihat kelibatnya sekitar jam 6:30 pagi, semalam. Sementara ibu saudaranya hanya menyedari kanak-kanak ini hilang apabila polis menghubunginya. "Saya berlari ke dalam bilik tidurnya dan berasa sangat terkejut apabila melihat dia tidak ada di atas katil," katanya kepada akhbar Verdens Gang. Menurut ibu saudaranya lagi, kanak-kanak itu nampaknya 'bermimpi' bahawa rumahnya terbakar, lantas memakai kasut dan terus membuka pintu hadapan rumah untuk lari keluar. Kanak-kanak tersebut dipercayai keluar berlari ke kawasan kilang ikan berhampiran sebelum berjalan kira-kira 800 meter ke dalam terowong untuk ke Honningsvag. "Anak saudara saya telah keluar selama beberapa jam. "Dalam cuaca ini, dirinya benar-benar sejuk dan sengsara," kata ibu saudaranya lagi. Kanak-kanak itu dan tiga adiknya dijaga sementara ibu saudara mereka kerana ibunya pergi bercuti.
Related Posts with Thumbnails