27 Mac 2010

Lelaki terpendek dunia meninggal dunia


LONDON – Lelaki paling pendek di dunia, He Pingping yang setinggi 75 sentimeter telah meninggal dunia di Rom, Itali pada Sabtu lalu kerana komplikasi jantung, kata Guinness World Records kelmarin.

Pingping yang berasal dari China dan kerdil sejak kecil akibat penyakit tumbesar terbantut itu berada di Rom untuk mengambil bahagian dalam satu rancangan televisyen, The Record Show.

Dia kemudiannya dihantar ke sebuah hospital pada 3 Mac lalu selepas mengadu sakit dada.

Doktor di hospital itu mendapati dia mengalami masalah jantung dan kolesterol tinggi.

Ketua Pengarang Guinness World Records, Craig Glenday pernah mengukur ketinggian Pingping di pedalaman Mongolia pada 2008.

“Sejak kali pertama saya melihatnya, saya tahu dia ialah seorang yang istimewa.

“Dia menceriakan hidup setiap orang yang ditemuinya selain menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang dianggap pelik atau luar biasa,” tambah Glenday.

Pihak Guinness World Records menyatakan pengganti Pingping akan diumumkan.

Sebelum ini, remaja Nepal, Khagendra Thapa Magar berusia 18 tahun mempunyai ketinggian 51 sentimeter mendakwa pada Februari lalu bahawa dia ialah orang yang paling layak untuk memegang gelaran lelaki terpendek dunia.
Related Posts with Thumbnails