9 Mei 2010

Sebak lihat cebisan otak


KOTA TINGGI: Sebaik melihat cebisan otak manusia di tempat kemalangan, saya dapat rasakan mungkin nyawa isteri dan anak sudah melayang, kata Mohd Fadzely Aziz, 28, menceritakan kemalangan ngeri yang meragut nyawa enam anggota keluarganya termasuk bayi dalam kandungan di Kilometer 81.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, kira-kira 1.5 kilometer dari Felcra Sungai Ara di sini, semalam.

PILU…Mohd Fadzely tidak dapat menahan kesedihan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Proton Wira yang dinaiki tujuh sekeluarga dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis pertunangan saudara di Kangkar Pulai, sebelum bertembung sebuah Mercedes Benz dari arah bertentangan.
Pertembungan kuat itu menyebabkan tiga daripada tujuh beranak maut di tempat kejadian, seorang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT), manakala seorang lagi ketika mendapatkan rawatan kecemasan di HKT, melengkapkan kematian tiga generasi keluarga berkenaan.
Isteri Mohd Fadzely, Nadatul Isma Md Isa@Ramli, 25, parah di muka dan tangan, manakala anak tunggal mereka, Putri Alya Batissa, setahun, parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu Proton Wira berkenaan, Md Azahar Ali Seman, 39, dan kakaknya, Zabidah, 49, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri Md Azahar, Noraini Norzaini, 27, yang dipercayai duduk di sebelah suaminya dan mengandung enam bulan, mati ketika dalam perjalanan ke HKT.
Mangsa terakhir meninggal dunia, Adriana Balqis Md Isa@Ramli, 6, yang juga anak Allahyarham Zabidah, menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan kecemasan di HKT pada kira-kira jam 5.10 petang, manakala seorang lagi mangsa, Nazrul Haikal Md Azahar, 6, turut menerima rawatan kecemasan di HKT sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Pandan, dekat sini, bersama ibu saudaranya, Nadatul Isma.
Mohd Fadzely ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila diberitahu isteri dan anaknya terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru kerana sebelum itu mereka bersetuju tidak menghadiri majlis pertunangan saudara isterinya itu.
Ketika perbualan telefon malam kelmarin, isteri ada memberitahu hasrat ke Johor Bahru, namun saya mengatakan tidak perlu dan hanya pergi ketika majlis perkahwinan mereka kelak kerana mempunyai tugas di rumah kami di Rompin.
Isteri ketika ini tinggal bersama ibunya (Zabidah) di Felda Keratong, Pahang, dan selepas perbualan itu dia bersetuju untuk tidak pergi ke majlis berkenaan.

Bagaimanapun, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon kira-kira jam 3 petang mengatakan isteri dan anak terbabit kemalangan di Kota Tinggi, katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Menurutnya, sebaik mendapat tahu kejadian itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba dia tidak dapat menahan sebak dan hampir pitam melihat cebisan otak bertaburan.
Ketika itu, katanya, terlintas di fikiran mengatakan isteri dan anaknya, Putri Alya Batissa, sudah pun meninggal dunia ditambah perbualan orang ramai yang mengatakan tiga daripada tujuh yang menaiki kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Sepanjang perjalanan ke HKT, badan saya menggigil keresahan, namun terpaksa menggagahkan diri.

Setibanya di sana, saya diberitahu anak meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri masih mendapatkan rawatan kecemasan, katanya yang bercadang membawa pulang anak dan isterinya pada 11 Mei ini untuk meraikan hari jadi isterinya, sehari kemudian.
Katanya, sekarang baru dia faham mengapa dia sukar melelapkan mata dan sering teringatkan anak isteri, malam kelmarin.
Sementara itu, Nadatul Isma sempat melihat jenazah ibunya, Allahyarham Zabidah dan anaknya buat kali terakhir apabila dia diusung melalui rumah mayat sebelum menaiki ambulans ke HSI.
Semua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perantau Damai, Muadzam Shah, Pahang, sebaik selesai bedah siasat.
Related Posts with Thumbnails