24 Sep 2014

Penoreh didakwa bunuh anak teman wanita

SUNGAI PETANI- Kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dipercayai akibat dicekik sebelum mayatnya ditanam di ladang kelapa sawit pada bulan lalu terbela hari ini apabila teman lelaki kepada ibu mangsa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini. Mohd. Zamri Daud, 42, yang bekerja sebagai penoreh getah menghadapi tuduhan membunuh Mohamad Fazrin Md. Shukri di sebuah rumah tidak bernombor, belakang kedai runcit bernombor 80A1, Kampung Sungai di sini pada pukul 11 pagi, 11 Ogos lalu. Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Syazwani Syed Hussin mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Lelaki dari Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil, Baling itu hanya mengangguk kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 November ini sementara menunggu laporan bedah siasat. Sebelum ini akhbar melaporkan, misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dari rumahnya di Sungai Karangan, Kulim dekat sini sejak 11 Ogos akhirnya terjawab apabila polis menemui mayatnya ditanam dalam kawasan semak di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Selambau di sini pada 10 September lalu. Mayat Mohamad Fazrin ditemui selepas polis menahan suspek kerana mengesyaki sesuatu tidak kena ekoran tindakan ibu kepada mangsa cuba menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum itu. Lebih memeranjatkan, hasil soal siasat mendapati mangsa dikatakan mati akibat dicekik oleh lelaki itu dan bertindak menanam untuk tujuan menghapuskan bukti.
Related Posts with Thumbnails