5 Mei 2010

Bayar ganti rugi sebab pukul pelanggan


PATTAYA, Thailand – Seorang gadis bar di sini, Juthathip Limpanon diarah membayar ganti rugi sebanyak 3,000 baht (RM295) kerana menyerang seorang lelaki Britain, Tony Hickey dengan kasut tumit tinggi ketika proses tawar-menawar harga untuk mendapatkan perkhidmatan peribadinya, lapor Pattaya Daily News semalam.

Seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Wallop Kungtarathip berkata, gadis itu pada mulanya menemani seorang rakan lelaki sebelum dia diperkenalkan kepada mangsa di kawasan tumpuan pelancong asing, Soi Buakao di sini lewat kelmarin.

Gadis bar itu marah apabila mendengar mangsa memberitahu rakannya itu bahawa dia sepatutnya membayar sebanyak 500 baht (RM49) untuk mendapatkan perkhidmatannya.

Hickey dan rakannya itu tidak menyangka gadis bar itu mengetahui bahasa Inggeris.

Akibat tidak dapat membendung kemarahan kerana bayaran yang dicadangkan itu terlalu rendah, gadis bar tersebut menyerang Hickey dengan kasut tumit tinggi sehingga kepalanya berdarah.

Apabila beberapa anggota polis tiba selepas mendapat maklumat orang awam, gadis bar berkenaan kemudian meminta maaf dan menangis kerana melakukan perbuatan tersebut.

Polis kemudian menjadi orang tengah dalam perbincangan untuk membayar ganti rugi itu.
Related Posts with Thumbnails